Friday 4 January 2013

BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN DIAGIH


Kementerian Pelajaran akan mula mengagihkan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 10,019 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara secara berperingkat bermula 15 Januari depan.
Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian itu memaklumkan, kaedah penyaluran bayaran dibuat ke akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) sekolah atau akaun khas Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi asekolah yang tidak mempunyai akaun bank.
Menurut kenyataan tersebut, mana-mana sekolah yang menerima kurang peruntukan, perlu membuat permohonan tambahan peruntukan beserta penyata bank sekolah dan jumlah yang diperlukan kepada Bahagian Kewangan kementerian secepat mungkin.
Kementerian Pelajaran turut menegaskan bahawa sebarang pemotongan bantuan tersebut sama sekali tidak dibenarkan.
''Tarikh pemulangan lebihan peruntukan juga ditetapkan selewat-lewatnya pada 31 Mac 2013 kepada mana-mana sekolah yang menerima lebihan peruntukkan bantuan tersebut,'' kata kenyataan itu.
Di bawah Bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak September lalu telah meluluskan peruntukkan RM540 juta bagi pemberian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bagi sesi persekolahan tahun 2013.
Bantuan ini bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.
Murid atau pelajar yang layak menerima bantuan tersebut mesti berstatus warganegara Malaysia, bersekolah kerajaan dan sekolah bantuan, murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau setaraf dengannya bagi persekolahan tahun 2013.
Pada masa yang sama, kenyataan tersebut turut meminta setiap Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Daerah memaklumkan kepada sekolah mengenai pelaksanaan bantuan antaranya termasuklah melalui surat siaran, garis panduan dan pemantauan bagi memastikan pelaksanaan pembayaran bantuan mengikut prosedur dan peraturan kewangan.
Pihak terlibat perlu melaporkan rumusan agihan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada kementerian selewat-lewatnya pada 28 Februari depan mengikut format yang ditetapkan.
Selain JPN dan daerah, pihak sekolah juga tidak terkecuali berperanan dalam perkara itu antaranya termasuklah memastikan murid yang layak menerima bantuan, menyemak dan merekod peruntukan yang diterima ke dalam Buku Tunai KWK, dan mengeluarkan resit rasmi pejabat apabila peruntukan telah sah dimasukkan ke dalam akaun KWK.
Sekolah juga perlu mengeluarkan wang bantuan daripada bank dan mengagihkan secara tunai kepada ibu bapa atau penjaga murid dalam tempoh 14 hari bekerja daripada tarikh bantuan diterima.
Pihak sekolah juga perlu memastikan ibu bapa atau penjaga menurunkan tanda tangan ke atas Senarai Akuan Penerimaan atau Penolakan Bantuan dengan disaksikan dua guru sebagai saksi.
Sekolah yang telah membuat agihan bantuan ini kepada murid yang akan berpindah sekolah perlu meletakkan cop 'telah bayar' bantuan khas RM100 pada borang perpindahan sekolah murid bagi mengelakkan berlakunya pertindihan agihan bantuan berkenaan di sekolah baharu nanti.
Bagi memastikan tidak ada murid yang tercicir daripada menerima bantuan tersebut, sekolah diminta mendahulukan peruntukkan sedia ada sekolah seperti wang SUWA atau lain-lain peruntukan sekiranya peruntukkan asal tidak mencukupi.
Pengetua atau guru besar dinasihatkan memohon secara rasmi perkhidmatan polis pengiring daripada Ketua Polis di negeri masing-masing dalam urusan pengeluaran wang melebihi jumlah RM10,000.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...